Saturday 26 June 2021

Ada Pasaran Tak? (Is There A Market?) - Soalan Pertama Sebelum Memulakan Perniagaan

Ini merupakan posting saya yang pertama dalam blog Nota Untuk Usahawan. Nota yang dikongsikan berdasar pengalaman saya dalam bidang pengiklanan, pemasaran dan eksport barangan FMCG (fast-moving consumer goods) dengan pihak swasta di Malaysia dan juga di luar negara. Diharap posting ini dan seterusnya boleh mendatangkan manfaat bagi mereka yang ingin mencebur dalam bidang perniagaan, atau untuk membantu usahawan kecil meningkat dan mengembangkan perniagaan mereka.


Ada Pasaran Tak? (Is There A Market)
"Is There A Market" atau "Ada Pasaran Tak" merupakan soalan yang sering diajukan oleh TC Pang, bos syarikat Mamee-Double Decker sewaktu saya bekerja di sana dulu.
    Ini soalan yang penting bagi seseorang usahawan apabila hendak memulakan perniagaan, atau menambah produk baru. 
    Sering kita lihat kes 'syiok sendiri' apabila ada yang berkobar-kobar hendak memulakan perniagaan sebab dah terjumpa satu produk yang dia yakin akan membawa keuntungan yang besar. Masalah ini terjadi bukan sahaja pada usahawan kecil atau individu, tetapi juga syarikat besar. Pernah pada zaman 80an dulu, syarikat Nestle mengeluarkan 'jelly' dalam kemasan tetrapak. Ini agak pelik kerana tetrapak biasanya digunakan untuk cecair seperti minuman dan pengguna akan mencari 'straw' untuk minum. Jelly pula berbentuk separa pepejal dan perlu digunting pula kemasan tetrapak itu sebelum dapat dinikmati. Produk tersebut tidak lama bertahan dipasaran kerana sambutan yang dingin. Mungkin tiada kajian yang menyeluruh dijalankan untuk memastikan produk ini mempunyai pasaran.
    Bagi TC Pang, saingan (competition) tidak menjadi masalah. Jika pasaran itu banyak saingan, itu menandakan pasaran untuk produk adalah besar. Jika pasaran besar dan ramai saingan, apa yang perlu ialah produk dan strategi yang lebih baik. Jika kita berjalan ke kawasan Rusila dan Ru Renggeh dekat Kuala Terengganu, terdapat ramai peniaga yang menjual keropok kering, keropok lekor dan ikan masin. Ini satu petanda, ada pasaran yang baik untuk barangan tersebut.
    Sama juga jika kita lihat dalam facebook dan FB marketplace, ramai yang menjual barang seperti ubat kuat lelaki, supplement untuk mengguruskan badan, ubat sakit lutut dan lain-lain, Ini merupakan satu petanda yang masalah itu agak berluasan dan pasaran pun besar. Begitu juga terdapat banyak iklan untuk makanan dan durian yang boleh dipesan atas talian. Ini juga petanda adanya pasaran yang bagus untuk produk tersebut.
    Kalau kita lihat pada rak di pasar raya, kita akan dapati banyak segmen yang mempunyai ada saingan hebat seperti kopi 3 dalam 1, minyak masak, makanan snek, bahan alat tulis, minuman, biskut,, beras dan lain-lain. Semua ini memberi gambaran betapa besarnya pasaran untuk barangan tersebut.

Persaingan
Kalau kita ingin berniaga dan bersaing dalam bidang di mana pasarannya luas, kita perlu bersedia untuk bersaing. Ada berbagai cara kita boleh bersaing. Mungkin menyediakan produk yang lebih berkualiti dan lebih sedap, atau kemasan (packaging) yang lebih menarik, harga yang lebih murah, dan lain lain cara.
    Produk yang lebih murah belum dapat memastikan kejayaan. Mungkin kualiti rendah sebab penggunaan bahan murah untuk menjimat kos. Apa yang konsumer cari adalah produk yang berkualiti dan bernilai (value for money).
    Di syarikat Mamee-Double Decker, mereka berpegang pada slogan 'Quality Sells' (barangan berkualiti mendatangkan kejayaan).

Produk Yang Unik
Yang kita bahaskan diatas ialah pasaran untuk pasaran yang sudah sedia ada. Bagaimana pula jika produk kita unik dan tiada saigan? Realiti, terlalu sedikit produk yang benar-benar unik. Kebanyakkan barang merupakan perkembangan pada produk yang sedia ada. Contohnya santan dalam paket yang kini terdapat cara berleluasan. Ianya perkembangan santan berbentuk serbuk atau santan segar. E-mel pula perkembangan dari mesin fax sebelumnya, dan sebelum itu pula surat dalam sampul.
 
Produk Yang Membantu Konsumer
Bagi mereka yang hendak memulakan perniagaan, perlu rajin membuat kajian untuk melihat masalah yang dihadapi oleh konsumer. Contoh jika melihat pada suri rumah, pasti mereka memerlukan cara untuk masakan sedap yang lebih ringkas. Untuk mereka yang mengalami masalah berat badan, sudah tentu mereka memerlukan cara yang lebih berkesan dan murah untuk badan jadi cantik. 
    KIta boleh gunakan perkataan seperti cara lebih mudah, berkesan, menarik, murah, cantik, sedap, dan lain-lain dalam membantu mengenal pasti produk atau servis yang sesuai untuk dipasarkan. 

Ada Pasaran Tak? (Is There A Market?) - Soalan Pertama Sebelum Memulakan Perniagaan

Ini merupakan posting saya yang pertama dalam blog Nota Untuk Usahawan . Nota yang dikongsikan berdasar pengalaman saya dalam bidang pengikl...